Lemah  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in

"Kita dah semakin lemah. Sebarkanlah sunnah semampunya, tidak semestinya dalam bentuk yang formal,".

Sebenarnya tiada musuh dalam dakwah. Musuh itu adalah dari dalam diri kita sendiri. Lemahnya kita dalam dakwah bukan kerana dominannya musuh kita, tetapi puncanya adalah kita. Jadi mengapa perlu kita menuding jari kepada musuh dan rasa tergugat.

Cepat menyerah, banyak mengeluh, tak nak bersusah payah, tak mahu berkorban, tak ada kerjasama, tak tahu prioriti, suka bergantung kepada orang lain, tak ada inisiatif sendiri - itulah kita.

Lemahnya kita kerana malas. Lemahnya kita kerana maksiat. Lemahnya kita kerana kita tidak mengaplikasikan apa yang kita belajar.

  • Berapa ramai yang mengamalkan gosok gigi sebelum wudhu'?
  • Berapa ramai yang berwudhu' dan membaca doa sebelum tidur?
  • Berapa ramai yang berani menggunakan tangan kanan sewaktu makan dan minum di hotel terkemuka sedangkan hukum Barat mengajar kita menggunakan tangan kiri untuk makan apabila kita memakai cutlery spt tableknife.
  • Berapa ramai yang mengucapkan salam, senyum dan berjabat tangan bila berjumpa dengan saudara-saudaranya?
  • Berapa ramai yang menjaga kata-katanya dengan hanya berkata-kata baik sewaktu berbicara dengan teman-temannya?
  • Berapa ramai yang sangat menjaga waktu (waktu solat, waktu ketika masuk kerja/kelas, waktu ketika berjanji dengan orang lain)
  • Berapa ramai yang menjaga bawaan personalitinya supaya tidak tabaruj?
  • Berapa ramai yang sanggup melawan daripada berkomplot dengan majlis maksiat (selalunya berbentuk hiburan lupa dunia) atau majlis keagamaan selain Islam/syirik bila ia sudah tersenarai dalam acara wajib dalam sesuatu aktiviti? (contohnya, memberi penghormatan kepada Tugu Prof Dr Moestopo ketika program OSPEC).
  • Bagaimana pula dengan bangun solat malam, solat sunnah, puasa sunnah, dan pergaulan?
  • Berapa ramai yang mendoakan dan mengambil berat tentang ibu bapa di kampung bila sudah berada di perantauan?
  • Berapa ramai yang suka mempercepat bayaran hutang?
  • Berapa ramai yang tidak menjalankan amanah belajar bersungguh-sungguh dan menjaga disiplin sebagai pelajar kampus?
  • ....dll....
Perlu baiki akhlak sebelum berbicara tentang keburukan ilmu orang lain, perlu amalkan ilmu sebelum menyampaikan ilmu, utamakan ilmu yang sudah teguh iman dan amalnya pada diri kita, janganlah pula jadi pendakwah segera, yang kualiti seperti mee segera saja.


Kenapa kakak suruh adik solat?  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan

"Kenapa kak selalu suruh cik solat?

"Solat tu perintah Allah SWT dan Rasul Nya, bukan kakak saje suka-suka je tegur cik bila cik tak solat atau bila cik lambat solat. Cik tahu kan apa panduan hidup kita kat dunia ni supaya kita tak sesat?""al-quran dan hadis"

"pintar adik kakak, umur 6 tahun pun dah tahu. Dari situ la kita tau yang kita wajib dirikan solat 5 waktu ni"

"Sebab kakak selalu sebut, ikut apa Allah cakap dan Nabi buat..tapi cik pelik la, Nabi SAW dah wafat, camne kita nak ikut dia?"

"Melalui hadis2 Nabi la kita dapat tahu apa yang Nabi buat, macammana Nabi buat, apa yang Nabi cakap, apa yang Nabi suruh, ada yang wajib kita ikut, ada yang tak. Solat adalah perintah yang wajib diikut, dengan tatacaranya sekali mesti betul. Kalau nak tahu kena belajar, cik belajar la pelan2. Sekarang ni yang penting akak nak cik buat ialah solat. Jom solat dengan kakak"


Adakah kanak-kanak itu akan puas kalau sekadar dikatakan solat tu wajib dan penting? Pasti dia ditinggalkan dengan penuh tanda tanya. Maka bacalah buktinya, kenapa solat itu sangat penting.


1. Solat adalah perintah Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Banyak ayat di dalam Al-Quran (firman Allah SWT) yang memerintahkan kita mendirikan solat kepadaNya. Misalnya, dalam surah Taha, ayat ke 14, Allah SWT berfirman: "Sungguh, Aku ini Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah SOLAT untuk mengingati aku". Malangnya, ramai antara kita mengambil ringan tanggungjawab untuk solat, ada yang suka melengah-lengahkan solat, menolak untuk mengingati Allah, sebaliknya ia lebih suka mengingat hal-hal yang melalaikan seperti menonton filem, bermesej-mesej dengan pacarnya, atau terlalu obses dengan kerja duniawi yang dilakukannya sehingga mengabaikan solat. Islam tidak memberikan kesukaran, kepada doktor2 yang berjuang mempertahankan nyawa manusia di dalam dewan bedah, kepada pelajar2 yang terperangkap dalam dewan peperiksaan, kepada orang yang bermusafir dan orang yang sakit-Allah SWT sangat tahu tentang hamba2Nya justeru Dia memberi keistimewaan kepada mereka yang tidak mampu mendirikan solat pada waktunya. Prinsipnya, solat tetap WAJIB walau bagaimana pun keadaan kita.


2. Solat itu benteng yang menghalang kita daripada buat perkara-perkara yang tak elok (keji dan mungkar). Allah SWT berfirman :"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar."[al-ankabut, 45]. Solat akan menyibukkan hati kita dengan sentiasa mengingati Allah dan bertakwa (takut) kepadanya, seandainya solat yang kita dirikan 'cincai poncai' , tak ada rasa khusyuk, dan tidak ikhlas atau tanpa wujud sedikit pun rasa tanggungjawab sebagai hamba Allah, sudah pastinya ia tidak merasakan kesan solat itu, sehingga ia masih terus berkeras hati berbuat maksiat dan kekejian dengan ego dan sombongnya.


3. Suka saya bawakan pesan Luqman kepada anak-anaknya dari surah Luqman, ayat 13-19. Ayat-ayat ini sangat berharga sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka, dan juga sebagai pesanan untuk kita semua sebagai anak-anak. Antara pesan Luqman kepada anaknya ialah:

  • Tidak mempersekutukan Allah SWT (tidak mensyirikkan Allah SWT walaupun sekadar untuk bermain-main kerana hal ini merupakan dosa yang sangat besar dan tdak boleh dipermainkan, contoh terkini dan terdekat ialah Paul the Octopus, Rahsia Tarikh Lahir, ramalan zodiac).

    Berbuat baik kepada ibu bapa (jangan menjadi anak derhaka yang selalu menengking ibu bapa, menyakiti hati mereka, menipu mereka, membuat mereka runsing dan menangis, dan lain-lain, terutama bila kita telah dewasa. Dewasa bererti kita sudah tahu baik buruk, jangan sombong bila berwang, terus terang saya katakan, anak yang tidak menghormati ibu bapanya tidak layak menjadi suami/isteri).

  • Laksanakan solat, suruh manusia melakukan hal2 yang makruf, dan cegahlah mereka daripada melakukan hal yang mungkar (dakwah), bersabar terhadap kejadian yang menimpa kita.

  • Jangan sombong.

Pesan ini merupakan pesan yang sangat penting buat kita, kerana hanya perkara2 yang sangat perlu ditekankan dan perkara pokok sahaja yang terukir di dalam Al Quran.

4. Surah 24:56 – Dan laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatlah kepada Rasul (Muhammad) agar kamu diberi rahmat.

5. Dan Allah SWT memerintahkan kita memelihara solat fardhu kita, "Peliharalah segala solatmu dan peliharalah solat wustha [al-Baqarah:238].

Beberapa hadis berkaitan keutamaan solat:

Dari abu Hurairah ra berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, "tahukah kalian seandainya sebuah sungai ada di depan pintu salah seorang kamu, ia setiap hari mandi dari sungai itu sebanyak 5 kali, apakah masih ada kotoran yang melekat padanya?" Mereka menjawab:"Tidak akan tersisa sedikit pun dari kotorannya (bersih-pen)". Baginda bersabda "Begitulah perumpamaan solat 5 waktu, dengannya Allah menghapus dosa-dosa."[HR Bukhari dan Muslim]

Dari Ibn Mas'ud r.a bahawa ada seorang lelaki yang mencium seorang wanita, kemudian dia mendatangi Nabi SAW dan menceritakan (perbuatannya itu) kepada beliau, maka Allah menurunkan ayat: "Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada sebahagian permulaan daripada malam, sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk". Maka orang tadi bertanya; "Apakah ini hanya untuk aku?" Baginda menjawab:"Untuk semua umatku" [HR Bukhari Muslim].

Dari Ibnu Mas'ud ra, dia berkata: "Saya bertanya kepada Rasulullah SAW manakah amalan yang paling utama?. Beliau bersabda:"Solat tepat pada waktu", saya bertanya "kemudian apa?" Baginda menjawab "Berbakti kepada kedua orang tua". Saya katakan, "kemudian apa?" Baginda bersabda " Jihad di jalan Allah". [HR Bukhari dan Muslim]

Dari Ibnu Umar ra berkata:"Rasulullah SAW bersabda: "Islam ini dibangun dengan 5 rukun, persaksian bahawa tidak ada sembahan yang benar melainkan Allah SWT dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji ke Ka'abah dan puasa Ramadhan." [HR Bukhari Muslim].

Dari Ibn Umar dia berkata "Rasulullah SAW bersabda:"Saya diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tidak ada yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah SWT, dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka apabila mereka melakukan hal itu, mereka telah melindungi darah dan harta mereka dariku kecuali dengan hak Islam sementara hisab mereka terpulang kepada Allah" [HR BUkhari dan Muslim]

Dari Abu Hurairah ra dia berkata "Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya amalan hamba yang pertama kali akan dihisab pada hari kiamat adalah solatnya, bila solatnya baik, maka ia beruntung dan selamat. Namun bila solatnya rosak, maka ia sangat rugi. Apabila ada kekurangan daripada solat fardhunya maka Allah SWT berfirman "Lihatlah adakah hambaKu memiliki solat sunnah sehingga kekurangannya pada solat wajib boleh disempurnakan dengan amalan sunnah itu? Kemudian seluruh amalannya akan dihitung berdasarkan perhitungan ini" [HR Tirmidzi, dia berkata: hadis Hasan]


Sedarlah bahawa kita ini adalah insan yang tak terlepas daripada melakukan dosa, maka beringatlah selalu, disiplinkan diri dengan tanggungjawab menunaikan solat di awal waktu, jangan sombong dan jangan ingkar. Tulisan ringkas ini mungkin hanya sesuai untuk mereka yang masih belum sedar tentang kepentingan solat, untuk kanak-kanak yang baru belajar tentang solat. Setelah mereka telah dilatih untuk solat, maka latihlah pula mereka untuk solat jemaah, solat di masjid bagi lelaki, solat dengan cara solat yang betul dan khusyuk. Seterusnya, latihlah diri kita dan mereka juga untuk sama-sama menambah nilai bonus dalam amalan dengan membanyakkan solat-solat sunnah lainnya.


Rujukan: Al-Quran dan Riyadhus Shalihin Jilid 2 di bawah Bab Keutamaan Solat; & Perintah Menjaga Solat Fardhu dan Larangan Kuat serta Acaman Hebat Meninggalkannya.




Apa Kata Dunia?  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in


Barbaric Israel kills Protesters in Gaza Flotilla

Malaysia Condemns Israeli Raid on Gaza Aid Flotilla (kata2 pedas Dr M untuk Barbaric Israel dan sekutunya)

Indonesia Condemns Israeli Attack On Humanitarian Volunteers

Demo held over Gaza flotilla Attack

Global Condemnation of Israeli raid

Qunut Nazilah buat Lifeline 4 Gaza
Jiwa perjuangan, jiwa pengorbanan, jiwa kemanusiaan, gentar menghadapi jiwa kehewanan. Doa untuk mereka. Di manakah kita..

Melayu, Islam, Malaysia.  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in

Tiga perkataan di atas begitu sinonim: MELAYU, ISLAM, MALAYSIA. Perhatikan induksi-induksi berikut:
- Islam merupakan agama rasmi Malaysia
- Islam merupakan agama yang dianuti oleh majoriti rakyat Malaysia
- Melayu merupakan kaum terbesar di Malaysia

Deduksi:
- Kebanyakan penganut agama Islam di Malaysia terdiri daripada kaum Melayu

Hakikatnya, Melayu itu bangsa, Malaysia itu negara, dan Islam itu adalah agama- 3 perkara berbeza.

Bangsa Melayu.
Saya masih ingat sewaktu sahabat saya menyertai BTN dalam rangka memenuhi syarat sebagai pelajar luar negara, mereka diajarkan bahawa seseorang itu dikatakan Melayu apabila:-
- bertutur dalam bahasa Melayu
- mengamalkan adat resam orang Melayu
- berketurunan Melayu dan menganut agama Islam
Kami hanya tertawa kecil pada waktu itu, kerana kami berfikir, adakah semua Melayu itu Islam dan adakah semua Islam itu Melayu, kenyataan ketiga itu menunjukkan seolah-olah Islam eksklusif untuk Melayu. Bagaimana pula dengan Melayu yang bertutur dalam bahasa Inggeris? hehe. Melayu boleh.

Negara Malaysia.
Yang sinonim dengan Malaysia itu bagi saya ialah Islam,Tun Dr Mahathir, Kuala Lumpur, multi racial. Sebetulnya, saya amat bersyukur menjadi rakyat Malaysia. Hal ini saya sedari apabila saya ditempatkan di sebuah negara yang tidak jauh dari Malaysia, iaitu Indonesia. Jiran sebelah, satu rumpun. Banyak pengajaran yang boleh diambil dari negara ini. 3K tergambar di kepala saya bila nama Indonesia disebut: Kemiskinan, Korupsi, Kreatif. Ya, kemiskinan jelas tergambar bila di pinggir-pinggir jalan dapat kita temui pengemis jalanan wujud di mana saja tak kira usia. Ramai yang tidak bersekolah. Kemiskinan juga menyebabkan pembiayaan untuk pendidikan anak bangsa terbatas, pemerintah tidak mampu membiayai kajian ilmiah daripada produk-produk yang berinisiatif. Korupsi menyebabkan yang kaya terus kaya dan yang miskin terus miskin, dari peringkat bawahan hingga orang atasan- semuanya mahu 'upah'. Sistem telah bertukar menjadi kapitalis dan money oriented. Kemiskinan menyebabkan mereka kreatif, berusaha mempelbagaikan cara memperoleh wang, tanpa rasa malu atau segan. Mereka begitu rajin. Kadang-kadang ada juga yang kreatif melakukan penipuan. Hidup mereka sempit dan sesak, hal inilah yang menjadikan bangsa mereka cukup sensitif walau dicuit sedikit, maka tidak hairanlah kenapa isu negara ini dan negara kita bangkit sejak akhir-akhir ini. Indonesia banyak mengajar saya untuk bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sangat memperhatikan rakyatnya. Saya sangat berharap Malaysia dapat lebih baik daripada ini pada masa akan datang, segala unsur-unsur yang menyebabkan keruntuhan negara perlu dibendung dari hari ini. Masalah keruntuhan moral, masalah rasuah, masalah politik dan kempimpinan dan lain-lain lagi merupakan musuh dalam negara. Dan saya, akan memainkan peranan saya dalam bidang kesihatan oral, insyaAllah. Nampak macam sepele, tapi sebesar-besar masalah boleh berpunca daripada hanya sebatang gigi yang sakit.


-tbc-

Islam dan Peranan Pelajar Islam dalam Memastikan Melayu dan Malaysia terus Unggul. Adakah dengan menganjurkan majlis tari menari dan malam penghayatan tradisi Melayu?




Kemiskinan Tidak Pernah Menghalalkan Judi.  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu BERJAYA.” [al-Maidah 5:90]


"Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” [al-Baqarah 2:219].


Titik. Bila Allah SWT kata HARAM, hukumnya HARAM. Bila Allah SWT kata WAJIB, hukumnya WAJIB. Andai disenaraikan kesan buruk judi kepada individu dan masyarakat mengikut logik akal juga semua manusia mengaku: JUDI bertentangan dengan norma masyarakat. It's a simple calculation.

Pengajaran dari ayat di atas,
1. Salah satu tips untuk menjadi individu yang berjaya ialah menjauhi arak, judi, dosa syirik dan menilik nasib (seperti menilik masa depan berdasarkan tarikh lahir yang sibuk dipromosikan di Malaysia sejak akhir-akhir ini), semua kemungkaran yang berasal dari syaitan.
2. Apapun alasan kita: samaada judi memberi pulangan menguntungkan atau membantu ekonomi dari banyak sudut, akibat buruk daripada kegiatan judi itu jauh lebih besar peratusnya daripada faedah yang diperoleh. Maka, yang haram tetap haram, walau apapun alasan kita, matlamat takkan pernah menghalalkan cara. Walau sejauh mana pun pandangan kita, ketahuilah bahawa Allah SWT Maha Mengetahui, pengetahuannya lebih luas meliputi langit dan bumi.

Cukuplah 2 ayat tersebut, sehingga dapat difahami oleh anak-anak SD (sekolah dasar) bahawa: Judi itu tak baik.

Bagi umat Islam, tugas kita bila mendengar ayat-ayat Allah SWT ialah: we hear and we obey. Titik, dan tidak ada sekutu bagiNya, tiada tolak ansur, maka tiada lagi alasan untuk berdolak dalih.

Kesimpulan: Apa sahaja bentuk perjudian hukumnya adalah haram dan apa sahaja laluan yang dibuka untuk perjudian perlu dibanteras dan dibasmi sehingga ke akar umbi, --->Malaysia bebas Judi 2010.


Muhasabah: Apabila Kita Dikritik..  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in



Pabila kesalahanmu ditegur dan engkau dikritik...

Jangan bermuram durja wahai sahabat, jangan rasa terkilan atau rasa terpukul.. Jangan pula kau tegar dengan pendirianmu jika kau memang benar tersilap, seolah kau menegakkan benang yang basah, dan jangan kau agungkan egomu dengan menolak nasihat dari mereka yang darjatnya lebih rendah daripada mu.

Siapa Yang Menegur?

Siapa dia? Emak? Pensyarah? Teman serumah? Suami? Isteri? Rakan sekerja? Anak? Saudara kita? Boss? Majikan? Murid? Orang yang tak dikenali? Orang yang kita hormati? Orang yang strata nya di bawah kita? Siapa dia nak tegur aku?

Tanpa mengira siapa yang menegur kita, yang penting kita faham: APA yang ditegur? [faham di sini bereti kita bukan sekadar tahu apa yang ditegur, tapi kita tahu kenapa kita ditegur sedemikian rupa]. Justeru kita akan tahu di mana salah silap kita, dapat kita kaji apa kesalahan kita selama ini yang kurang kita sedari. Tidak bererti kita harus pasrah dengan menerima bulat-bulat apa yang ditegurnya, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat mengimbangi "the pros and cons" tindak tanduk kita itu, kalau banyak manfaatnya-kita teruskan sambil menjelaskan prinsip kita kepada yang menegur, kalau ternyata perbuatan kita kurang mendatangkan faedah- kita akur dan cukuplah kesekian kalinya kita melakukan hal-hal yang tak wajar kita lakukan.

Jangan kita menolak teguran seseorang hanya kerana kita memandang rendah kepada si dia, mungkin dia majikan kita, atau junior kita, atau lebih bodoh/jahil daripada kita. Jangan pula kita terlalu ego sehingga merasakan semua yang kita buat adalah baik dan benar, sehingga kita pantang ditegur. Atau kita merasakan pendapat kita sahaja yang bagus dan mantap sehingga sukar menerima teguran orang lain.

Ingat, yang penting ialah: APA YANG DITEGUR, BUKAN SIAPA YANG MENEGUR. Justeru, hati lebih tenang dan adil dalam membuat penilaian.

Reaksi Kita Dalam Menerima Teguran dan Kritikan.

1. Bertenang.

Tarik nafas, bertenang seketika (walaupun hati agak panas dan pedih), cuba bersangka baik, elakkan prasangka negatif (contohnya: A menegur B, B menganggap bahawa A menegurnya kerana A cemburu atau benci, padahal A mungkin saja ikhlas menegur B kerana dia sayang dan prihatin terhadap B). Ketenangan merupakan saat yang sangat sesuai untuk berfikir dengan waras. Justeru, anda adil dalam membuat pertimbangan serta tindakan dan anda boleh menerima teguran/kritikan dengan hati yang terbuka.

2. Bermuhasabah.

Silakan bersedih untuk beberapa saat/minit, kerana setiap manusia mempunyai perasaan dan berhak untuk bersedih. Tapi jangan lama-lama. Bersedih dan menangis takkan dapat mengubah apa-apa, pengecualian kepada orang perempuan, menangis boleh meredakan perasaan. Walaubagaimanapun terlalu melayan perasaan juga adalah satu kegiatan yang kurang sihat untuk kaum Hawa kerana ia yang agak membuang masa dan tenaga fikiran.
Lebih baik kita ambil beberapa saat hingga beberapa hari untuk bermuhasabah mengkaji kelemahan diri dan membuat perancangan bagaimana kita mahu mengubahnya, berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik sementara usia kita masih muda, bila usia dah menjelang senja, dapat kita perhatikan bahawa manusia seringkali menolak untuk berubah atau menerima perubahan, itulah kelaziman manusia, lebih-lebih lagi bila diri tidak pernah bersedia untuk berubah.
Itulah gunanya kritikan dan teguran, tujuannya supaya kita sentiasa memajukandiri, bukan menyatakan kelemahan diri.

3. Sabar dan Tidak Marah.

Andai anda dikritik/ditegur, janganlah terus melenting atau marah. Perasaan marah akan memburukkan lagi keadaan kerana boleh jadi, anda akan bertindak mengikut emosi tanpa berfikir terlebih dahulu, hal itu menampakkan lagi sifat yang kurang bijak dan kurang matang nya seseorang itu. Lebih baik anda diam seketika atau berundur seketika untuk mencari ketenangan. Ingat bahawa setiap daripada kita lemah dan pasti ada salah diri kita di mana-mana yang tidak kita sedari. Marah juga satu emosi yang kurang sihat. Sejukkan hati anda dengan mendekatkan diri dengan Allah Subhanawata'ala, berdoa, sabar dan solat (seperti entry sebelum ini).
Ingat, kawal MARAH anda!

4. Tidak putus asa

Jangan sesekali cuba berputus asa, walaupun usaha serta penat lelah kita terasa tidak dihargai. Sebenarnya kita telah berhasil, sebab itulah kita mendapat kritikan. Sekiranya tidak ada orang yang mengkritik, maka wujud dua kemungkinan. Pertama, mungkin kita sudah benar-benar bagus atau yang Kedua, mungkin saja orang tidak mempedulikan kita.
Sentiasa tanamkan dalam fikiran kita bahawa kita MAMPU berubah ke arah yang lebih baik. Jadikan kisah pelacur yang akhirnya mendapat tempat di syurga kerana memberi minum kepada anjing itu sebagai satu kisah motivasi untuk kita berubah ke arah yang lebih baik. Jangan hanya pasrah menganggap "memang aku sudah ditakdirkan begini dan punya kekurangan begini, tegur macammanapun aku takkan berubah, aku tak dapat nak buat apa-apa".
Maka, jadikan KRITIKAN SEBAGAI ALAT UNTUK MENGASAH GERGAJI ANDA, bukan menumpulkannya.

5. Bertemu dengan Orang yang Menegur.

Pertemuan dapat merapatkan hubungan. Apabila kita melihat wajah saudara kita, atau mendengar suaranya, sekaligus kita akan dapat memadamkan segala buruk sangka yang bermain di kepala, kita akan lebih mengenalnya dengan lebih dekat. Apatah lagi apabila kita berbual mesra tentang satu topik yang diminati dan bersentuhan dengannya. Janganlah kita menjauh atau merajuk apabila kita ditegur/dikritik, ia takkan menyelesaikan masalah. Bersua muka, bincangkan secara baik apa yang kita kurang setuju dengannya dan apa yang kita setujui, saling bertukar pandangan dan sentiasa terbuka.

6. Berterima kasih kepada yang Menegur

Ucapkan terima kasih kerana dia sudah menegur kita. Bukan semua orang mampu menegur orang lain, banyaknya di antara kita yang sedar sahabatnya melakukan kesalahan tetapi hanya membiarkan sahabatnya itu terus menerus melakukan salah yang sama. Hargailah orang yang telah menegur kita, itu bererti dia sangat memberi perhatian dan peduli tentang diri kita. Bahkan, dia sangat sayangkan kita.

Buat Yang Menegur..

Adalah lebih baik jika kita dapat menegur seseorang secara rahsia (personal) tanpa mengkritiknya di hadapan orang lain sehingga menjatuhkan aib nya. Tapi, adakalanya kritikan terbuka juga perlu bagi membina peribadi diri yang kuat. Tegur dengan lembut, berhikmah dan penuh kasih sayang, boleh juga bersikap tegas bila perlu, jadi amatlah penting bagi penegur mengobservasi terlebih dahulu personaliti orang yang akan ditegurnya. Jika si dia seorang yang degil dan susah menerima nasihat orang lain, maka sikap tegas itu PERLU ada pada waktu itu. Yang penting, janganlah kita cuba-cuba mencari atau mengintai kesalahan orang lain untuk ditegur.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri baik di alam maya mahupun di alam realiti.


Proaktif lah !!  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in

Kita terlalu banyak berkomentar, kita terlalu sensitif dalam mengenal pasti masalah/kesalahan dan terus melontarkannya menurut suara hati! Dan noktahnya, kita hanya menopang dagu sambil menanti-nanti orang lain memberi penyelesaian/solusi kepada masalah tersebut. [AMARAN: Hati-hati dengan kebiasaan buruk menopang dagu, boleh menyebabkan mandibular dislocation!].


Begitu kah seharusnya kita?


Saudara saudari ku yang dikasihi,

Adakah terlalu sulit untuk bertindak proaktif? Memiki
rkan resolusi yang positif atau inisiatif yang membangun dalam usaha memecahkan masalah? Terlalu sukar kah untuk kita lepaskan rantai besi yang mengikat diri kita daripada bebas merdeka tanpa bergantung kepada orang lain dalam membuat keputusan dan menentukan hala tuju hidup sendiri/mencapai satu matlamat yang sama? Terlalu sukar kah bagi kita untuk menyusun strategi dan menumpukan perhatian terhadap usaha - usaha sendirian berhad?

Sekarang bukan lagi waktunya untuk kita disuap, hapuskan budaya spoon feeding yang diajarkan di bangku sekolah pada zaman dahulu :), cukuplah dahulu ibu kita melakukannya untuk kita ketika dulu kita tidak mampu berdiri sendiri.


Proaktif lah, lakukan inisiatif sendiri, bukannya menunggu orang lain melakukannya untuk kita atau tunggu disuruh baru nak buat!




Terkejarkah Kita?  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in

Terlalu banyak perkara yang perlu dikejar. Kejar dunia. Kejar akhirat. Untung bagi yang berjaya memperoleh akhirat, lebih untung lagi mereka yang mendapat kedua-dua dunia dan akhirat. Sebagai seorang Islam yang berkemampuan dan berakal, kita perlu mengejar kedua-duanya tanpa mengabaikan walaupun salah satu aspek, apatah lagi kewajipan mengejar akhirat.

Realitinya. Ramai antara kita yang lemah. Lemah kerana malas dan tidak bijak memanfaatkan masa, menyebabkan kita memilih satu antara dua titik ekstrem. Akibatnya, bukan sahaja kita gagal di dunia, malah akhirat juga masih belum tentu hala tujunya. Masihkah ada kesempatan buat kita?

Kalau tak mahu Rugi..

"Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan kesabaran" [QS Al-'Asr 103:1-3].


Menurut Prof Wahbah Zuhaili ketika mentafsirkan ayat 1 dari surah Al-'Asr:

Allah bersumpah demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian yang nyata kerana berniaga dengan syaitan dan lebih mengutamakan dunia. Jika mereka berniaga kepada Allah dengan cara mentaatinya dan lebih mementingkan akhirat, maka mereka akan mendapat keuntungan yang kekal.

Menurut al Imam Ibnu Kathir dalam tafsir nya, masa diisi oleh anak cucu Adam dengan aktiviti2 yang baik dan buruk, Allah SWT bersumpah dengan masa, bahawa sungguh, manusia dalam kerugian, TETAPI terdapat pengecualian bagi golongan-golongan yang disebutkan tadi, iaitu mereka yang:-

  • Beriman kepada Allah SWT( dengan hati) dan mengerjakan amalan soleh dengan kekuatan anggota badan yang dikurniakan
  • Taat perintah Allah SWT, laksanakan syariat Allah, (i.e: mentauhidkanNya) dan tinggalkan apa yang diharamkanNya
  • Bersabar atas segala dugaan, takdir, dan halangan yang diberikan kepada mereka yang menegakkan amar ma'ruf nahi munkar.

Dr. Wahbah Zuhaili juga menjelaskan, mereka yang tergolong dalam golongan yang saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran ialah mereka yang:-

  • Saling mengingatkan supaya sabar dalam melaksanakan ketaatan, menjauhi kemaksiatan, dan mengahadapi musibah.
  • Sabar termasuk sebahagian dari kebenaran..
Penutup

Ya. Inilah panduan kita. Kalau nak tahu tentang iman, tentang amal soleh, tentang tauhid, tentang suruhan dan larangan Allah SWT, kuncinya adalah ILMU yang benar. Untuk menuntut ilmu sahaja, pelbagai macam ujian yang perlu ditempuh, belum lagi ke tahap mengaplikasikannya dan bermujahadah dalam melaksanakannya. Kuncinya adalah SABAR, walaupun kita pernah GAGAL, walaupun banyak dugaan yang menghambat usaha kita menaiki tangga (atau merangkak?) menuju kejayaan. Ingat, kejayaan hakiki adalah akhirat walaupun hakikatnya sekarang kesibukan dunia terlalu menghimpit masa kita. Nampaknya kita sudah tidak ada masa lagi. Kalau mahu berjaya di dunia dan akhirat, kena lah melatih diri mulai dari sekarang untuk berhenti berangan kosong, berhenti melakukan perkara-perkara yang kurang manfaat dan mendatangkan banyak mudharat, membelakangkan perkara-perkara yang tidak wajar diberi prioriti, elakkan buang masa dengan melakukan dosa syirik, bid'ah, khurafat dan maksiat. Rajin-rajinkanlah diri dan tinggalkan banyak beralasan. Semoga ayat-ayat Allah ini dapat memberi motivasi buat kita semua terutama penulis.

WA.

SABAR  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in ,


Sabar adalah pengaduan hamba kepada Allah SWT atas musibah yang menimpanya dan ketabahannya di sisi Allah SWT dengan mengharapkan keredhaan dan pahala dari Nya. Kadang-kadang, seseorang itu diuji dengan berbagai masalah, namun ia tetap tegar, dan tidak mengambil pilihan lain, kecuali dengan BERSABAR. ~ Sa'id Bin Jubair.


QS Al-Baqarah 2:45 ~ "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk",

QS Al-Baqarah 2:46 ~"(iaitu) orang-orang yang meyakini, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya."


QS Al-Baqarah 2:153 ~ "Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar".


  1. Sabar dan solat adalah penolong kita untuk beroleh rahmat Allah SWT serta kejayaan di dunia dan akhirat.
  2. Bersabarlah kita dalam melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT walaupun terkadang kita terasa sangat susah, malas dan berat serta teruji dengan nikmat dunia yang lain.
  3. Bersabarlah kita dalam meninggalkan dosa maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT walaupun terkadang kita merasakan ianya sesuatu yang indah menurut pandangan dan hawa nafsu kita.
  4. Bersabar dalam menghadapi musibah, ujian dan cubaan merupakan satu kewajipan.
  5. Solat bila ditimpa masalah; sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Hudzaifah bin al-Yama r.a; "Jika Rasulullah SAW ditimpa suatu masalah, maka baginda segera menunaikan solat" (HR Abu Daud).*
  6. Hal ini merupakan satu perkara yang amat berat, kecuali bagi orang-orang yang patuh, tunduk dan merendah diri kerana takut kepada Allah SWT serta yakin akan janji dan ancamanNya.
  7. Menurut Imam Ibn Kathir, yang dimaksudkan dengan orang2 yang khusyu' dalam ayat ialah mereka yang yakin bahawa mereka akan menemui Rabb Nya, mereka mengetahui bahawa mereka akan dikumpulkan kepadaNya pada hari khiamat, semua persoalan mereka kembali kepadaNya, Dia memutuskan persoalan itu menurut kehendakNya sesuai dengan keadilanNya. Oleh sebab mereka meyakini adanya hari pengembalian dan pemberian pahala, maka mereka berasa ringan untuk melaksanakan ketaatan dan meninggalkan larangan.


QS Az-Zumar 39:10 ~ "Sesungguhnya
hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas."

QS Al-Qashash 28 :80 ~ Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal saleh, dan tidak diperoleh pahala itu kecuali oleh orang-orang yang sabar".


Rujukan lanjut sila lihat Tafsir Ibnu Katsir Jilid 1, Dr. Abdullah bin Muhammad Bin 'Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh- diterjemah oleh M.Abdul Ghoffar EM, Pustaka Imam Asy-Syafie, Bogor, 2008, hal.124, 125, 303 dan 304.

Wanita, Berjuanglah!!  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in

"I'm not a girl, not yet a woman.." ~ tulisan buat wanita-wanita yang masih muda, remaja perempuan, pelajar seperti saya.

Beberapa perkara untuk kita renungi dan bermuhasabah..

# Wanita kerap meminta, tapi terlalu kurang memberi dan berbagi.

# Wanita selalu mengharap dan meminta untuk dibimbing tapi sebenarnya tak bersedia langsung untuk dididik atau dibimbing. Bila ditegur, merajuk. Sekali ditegur, salah yang sama tetap diulang.

# Wanita bilang sedia ditarbiah, tapi bila dimarahi atau ditegur sedikit sahaja, sudah mula mendengus dan lantang melawan. Pensyarah marah sikit pun dah nak merungut.

# Wanita sering mengharapkan perhatian, tapi tak pernah memberikan perhatian.

# Wanita sering mahu hatinya difahami, tetapi tidak pernah cuba untuk memahami.

# Wanita mudah tertipu, mudah percaya. Mudah terpengaruh dengan ajaran yang ber'semangat' tanpa meletakkan ilmu sebagai prioriti.

# Wanita sering emosi, jarang memuliakan akal dalam tindak tanduk. Marah dan ego tidak kena pada tempat, mengerikan.

# Wanita sering menurut keinginan dan tunduk pada hawa nafsu, menghabiskan wang ke arah perkara yang sia-sia, material duniawi dan kecantikan yang berlebih-lebihan. Bukan untuk buku dan kitab agama.

# Wanita tidak sanggup korbankan masa dan tenaga untuk dakwah, hanya beralasan mereka lemah serta tak mampu bersendiri, terlalu banyak beralasan!.

# Wanita, sering mendera pandangan lelaki. Keluar rumah dengan pakaian yang ketat mengikut tubuh badan macam sarung nangka, rambut mengerbang, dan skirt pendek. Make-up macam pelakon opera Cina.

# Wanita, suka bersangka-sangka. Hatinya penuh kekeliruan dan prasangka negatif, memandulkan keupayaannya untuk bersifat lebih matang dan terbuka.

# Wanita, bila diberi tanggungjawab dan amanah, sering merungut dan berbicara, sampai mati pun, kerja takkan pernah jalan.

# Wanita, suka fokus pada hiburan dan perkara yang sia-sia, di mana kau buang ilmu agama untuk memandumu dan amal sebagai pengisi waktu mudamu?

#Wanita, suka berbelanja untuk kepentingan diri, jarang sekali bersedekah atau memberikan infaq.

# Wanita, dan dot dot dot....

Beberapa kesilapan yang kerapkali ditemukan pada wanita muda yang masih bertenaga, masih bersemangat waja, masih produktif, masih mampu dan masih kuat~ yang perlu dibetulkan. Sebelum kita melangkah ke medan yang lebih memerlukan pengorbanan, kebijakan akal dan keseriusan di masa depan. Wanita, bangkit dan berjuanglah melawan kelemahanmu tanpa banyak alasan! Anda mampu mengubahnya~




Penyejuk Hati Saya  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in ,

Sejak kebelakangan ini saya dapat merasakan diri saya terperangkap dalam satu situasi yang terlalu menguji keimanan dan kesabaran. Kecewa. Keliru. Terkilan. Sedih. Marah. Tiada semangat. Saya cenderung menyendiri bila menghadapi tekanan. Saya hanya perlukan orang-orang tertentu untuk bersama saya dan mendengar luahan hati saya. Kadang-kadang, menulis juga merupakan satu aktiviti yang dapat mengurangkan berat rasa di hati ini.

Saya kecewa apabila melihat realiti masyarakat ini terlalu memberi laluan yang mudah kepada perkara-perkara yang kurang mendatangkan manfaat. Sebaliknya, perkara yang perlu menjadi prioriti (aqidah) dalam keadaan umat Islam nazak keimanannya seperti hari ini sulit untuk mendapatkan jalan mahupun peluang yang mudah, dikhuatiri menimbulkan ketidakharmonian. Masyarakat yang penuh rasa ingin tahu dibiarkan berada dalam keadaan keliru dan terkapai-kapai dalam beberapa tempoh, kenapa perlu menghindar? Kalau hanya kerana ingin menjaga nama baik, adalah terlalu dangkal berfikiran seperti itu. Saya juga merasakan bagi sesiapa yang ingin menyebarkan agama dan mempelajari agama Islam yang sebenar, janganlah terlalu menggantungkan diri anda atau agama anda pada birokrasi. Islam akan menjadi tidak lagi beroh bila kita terlalu mengikatkan ia nya dengan birokrasi atau meletakkan birokrasi di atas agama sehingga kelihatan bahawa kita lebih mementingkan pihak atasan daripada Allah SWT. Saya memuji organisasi dakwah yang berstruktur, tersusun dan berstrategi yang berlepas diri daripada kelompok manusia yang kalut dengan kekuasaan, nama, dan beberapa kepentingan. Saya menyokong dalam keadaan realiti masyarakat yang masih belum matang dan bersedia seperti sekarang ini, kita kurangkan hal-hal yang menyebabkan ketidakharmonian atau kemudharatan - itu adalah tindakan yang rasional, tetapi saya kurang bersetuju apabila kita tidak tahu mengimbangi prioriti antara keharmonian masyarakat dan penyemaian ilmu untuk kemantapan aqidah masyarakat, hanya kerana kejahilan dan sikap kita yang sering bersangka-sangka. Sayang seribu kali sayang. Kita terlalu sensitif.

Majoriti masyarakat di sekeliling saya sekarang ini ialah masyarakat yang beragama Islam. Agama mereka sama dengan agama saya, tidak ada sebab untuk saya membenci mereka. Tetapi saya tidak mampu melindungi keresahan jiwa saya berada dalam kelompok yang majoritinya beragama Islam ini. Saya malu dengan diri sendiri. Umat kita begitu mundur, dan saya sebahagian daripada mereka. Kita lah pemalas, kita lah yang kalah dalam pelajaran, kita lah yang kalah dalam ketrampilan, kita lah yang tidak pernah menunjukkan minat menuntut ilmu, kita lah yang korupsi, kita lah yang terlibat dalam pergaulan bebas, kita lah yang menjadi pengemis, kita lah yang sentiasa dahaga kan hiburan melampau, kita lah yang mendedahkan aurat, kita lah yang memperalatkan wanita, kita lah yang tidak menghormati guru dan orang tua, kita sibuk dengan cinta manusiawi, kita lah yang lemah dalam ekonomi dan segala hal lagi. Walhal negeri ini memiliki banyak potensi untuk diaplikasikan. Di mana semua pemuda kita? Ke mana semangat mereka dialirkan? Ke mana fokus mereka dilarikan? Parah benar. Lebih parah lagi bila perkara-perkara tahyul dan khurafat serta serangan pemikiran sangat bermaharajalela di tengah-tengah masyarakat ini. Saya bencikan semua itu, tetapi masih belum mampu melakukan apa-apa. Budaya umat yang lemah ini turut memberikan kesan kepada kehidupan saya sekarang ini dan masa depan saya. Sebab saya merupakan salah satu bahan eksperimen sistem pendidikan negara. Sistem dan suasana ini kadang-kadang menyebabkan saya berasa lelah dan kurang bersemangat. Kita manusia, bukan robot. Entah apa sebenarya yang kita kejarkan. Saya khuatir manusia yang lahir dari sistem ini adalah manusia yang gagal.

Saat diri menjadi keliru, kegalauan dan kesedihan ini....tiada pengubat yang lebih menyejukkan selain daripada mengingati Allah. Mengkritik, menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku memang mudah. Tetapi kita tidak sedar sejauh mana kita telah redha dengan apa yang berlaku. Doa itu senjata kita, zikir itu pengubat hati, Allah SWT berfirman:-

"Berdoalah kepadaKu, nescaya ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina" (Ghafir:60)


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah: 186)


"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerusakan di atas muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik (Al-'Araf: 55-56).


Rasulullah SAW bersabda,
"Allah SWT berfirman, 'Aku sesuai dengan anggapan hambaKu kepadaKu dan Aku bersamanya jika dia zikir kepadaKu. Jika dia berzikir kepadaKu dalam dirinya, maka Aku ingat kepadanya dalam diriKu. Jika dia berzikir kepadaKu di tengah orang banyak, maka Aku ingat kepadanya di tengah orang banyak yang lebih baik daripada mereka. Jika dia mendekat kepadaKu sejengkal, maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Sedangkan jika dia mendekat kepadaku sehasta, maka Aku mendekat kepada nya sedepa. Jika dia datang kepadaKu dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari kecil." (Muttafaq'alaih).


Doa Kegalauan dan Kesedihan.

"Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak dari hambaMu, ubun-ubunku (nasibku) ada di tanganMu. Telah lalu hukumMu atasku, adil ketetapanMu atasku, aku mohon kepadaMu dengan perantara semua nama milikMu yang Engkau namakan sendiri, atau Engkau turunkan dalam kitabMu, atau Engkau ajarkan seorang dari hambaMu, atau Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib di sisiMu. Jadikanlah Al-Quran sebagai penawar hatiku, cahaya dalam dadaku, penghapus dukaku, dan pengusir keluh kesah ku." (Diriwayatkan oleh Ahmad). [1].


"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari keluh kesah dan rasa sedih, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat bakhil dan penakut, dari belitan hutang dan para penindas yang menagih(ku)." (Diriwayatkan oleh Al Bukhari) [2].


Doa Kesulitan.

"Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah yang Maha Agung dan Maha Lembut. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Tuhan 'Arsy yang agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan langit dan bumi dan tuhan 'Arsy yang Mulia" (Muttafaqalaih).


"Ya Allah, rahmat Mu ku harapkan. Janganlah Engkau serahkan (segala urusanku) atas diriku walau sekejap mata, perbaikilah segala urusanku, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau." (Diriwayatkan Abu Daud, dan Ahmad) [3].


"Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." (Diriwayatkan oleh At Tirmidzi dan Al Hakim) [4].


"Allah, Allah adalah Tuhanku, aku sedikit pun tidak menyekutukanNya" (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah). [5].


Doa Orang Kesulitan Dalam Sesuatu Hal.

"Ya Allah, tiada yang mudah, kecuali apa yang Engkau mudahkan, dan tiada yang sulit jika Engkau mengkehendakinya kemudahan" (Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Ibnu As Sunni) [6].


Terakhir buat kita semua...

"Setiap anak cucu Adam adalah pelaku dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah mereka yang bertaubat." (Hadis riwayat Ibn Majah).


Semoga menjadi penyejuk hati anda juga.

Nota kaki.

[1] Ahmad, (1/391) dan disahihkan oleh Al albani dalam Al-Kalim Ath Thayyib no.124.
[2] Al-Bukhari. (7/158), no.6363. Lihat al-Bukhari, dalam Fathul Bari, (11/173).
[3] Diriwayatkan Abu Daud, (4/324), no.5090; dan Ahmad, (5/42). Dihasankan oleh Al Albani dan disahihkan oleh Abu Daud, (3/959).
[4] At Tirmidzi, (5/529), no.3505; Al-Hakim dan sia mensahihkan dan disepakati oleh Az-Zahabi, (1/505). Lihat Sahih At-Tirmidzi, (3/168).
[5] Abu Dawud, (2/87) no.1525; Lihat Sahih Ibnu Majah, (2/335)
[6] Ibnu Hibban dalam sahihnya no 2427; Al-Mawarid, Ibnu As Sunni, no.351. Dan Al-Hafizh berkata, "Ini adalah hadis sahih" dan disahihkan oleh Abdul Qadir Al Arnauth dalam Takhrij Al-Adzkar, karya An Nawawi, hal. 106.