“BAGI MU AGAMA MU DAN BAGI KU AGAMA KU!”  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in



Sering kita dengar, dalam ceramah-ceramah agama, ustaz2 merintih tentang aqidah umat Islam yang kian tercemar, yang kian goyah. Isu kes murtad, pengaruh gerakan Kristianisasi, gejala khurafat, dukun dan pawang yang tak sudah2, kemunculan Nabi palsu, Islam Liberal, Syiah, Tarekat & Sufi yang melampau, sampai lah kepada isu2 pemimpin politik yang mempunyai nama dan kedudukan di tengah2 masyarakat yang turut menyertai upacara orang bukan Islam- berkabung dengan cara menyalakan lilin, puasa sunat dengan niat atas dasar membantah keputusan mahkamah, memberi penghormatan kepada tugu Negara, kata orang, pemimpin lahir dari masyarakat, maka pemimpin mencerminkan sesebuah masyarakat itu. Masyarakat juga sudah tidak kisah, menyambut dan tumpang bergembira pada hari perayaan agama orang2 kafir juga dah tak menjadi suatu kelainan lagi, sampaikan dulunya pernah masyarakat kita sibuk dengan promosi "Kongsi Raya", katanya, "Inilah Malaysia yang muhibah, bersatu antara kaum.." Takkanlah agama pun kita nak menyatu?


"Katakanlah (Muhammad), "Wahai orang-orang kafir! Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah, dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untuk mu agamamu, dan untukku agamaku." [QS Al-Kaafiruun: 109:1-6]


Ibnu Kathir rahimahullah ketika menyebutkan ayat2 ini, menjelaskan:


"dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah" (109:4) - maksudnya, aku tidak akan pernah menyembah sembahan kalian (orang2 kafir). Aku tidak akan menempuh jalan kalian dan tidak juga mengikutinya. Tetapi aku akan sentiasa beribadah kepada Allah dengan cara yang Dia sukai dan redhai.

"dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah" (109:5) - kalian (orang2 kafir) tidak akan mengikuti perintah-perintah Allah dan syariatNya dalam menyembah Allah, tetapi kalian telah memilih sesuatu dari diri kalian sendiri. Dengan demikian Rasulullah SAW terlepas dari mereka dalam segala aktiviti mereka, kerana sesungguhnya, setiap orang yang beribadah sudah pasti memiliki sembahan dan ibadah yang ditempuhnya. Dan Rasulullah SAW beribadah kepada Allah atas apa yang disyariatkanNya.

Orang2 musyrik menyembah selain Allah dengan ibadat yang tidak diizinkanNya sedangkan tidak ada sembahan melainkan Allah semata, dan tidak ada jalan yang boleh sampai kepadaNya kecuali apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Persoalan kefahaman aqidah yang meruncing ini tidak wajar hanya dibicarakan oleh ustaz2 penceramah agama sahaja, tetapi setiap individu yang telah bersyahadah (beri'tiqad dan berikrar bahawa tidak ada yang berhak disembah dan menerima ibadah melainkan Allah SWT serta mengakui secara lahir batin bahwa Muhammad SAW adalah hamba Allah dan RasulNya yang diutus kepada manusia untuk diikuti), perlu memikul tanggungjawab, mengambil serta menyokong usaha yang dilakukan bagi melawan anasir yang boleh meruntuhkan aqidah umat Islam.

Hakikatnya, fenomena yang terjadi sekarang sangat membuktikan majoriti daripada kita sememangnya kurang sensitivitas terhadap perkara yang berkaitan dengan aqidah. Apabila pasangan suami isteri baru mendapat cahaya mata, mereka sudah mula merancang masa depan anak-anak nya itu yang melibatkan pendidikan sekolah & universiti, kerjaya yang professional, apabila mahu diajarkan sesuatu tentang agama ini kepada anak-anak, mereka memulakannya dengan mengajarkannya ibadah solat, apabila anak-anak jauh dari mata mereka, mereka mula risau dan tertanya-tanya, "Bagaimanakah kesihatan dan pelajaran anakku?", ketika pintu ajal sudah hampir, mereka risau di mana tempat yang akan diduduki oleh anak-anak mereka, lalu mereka wasiatkan segala macam harta benda dan jawatan. Apabila para pemuda diberi pilihan antara majlis ilmu yang mengagungkan Allah dan mengajak ittiba' kepada Rasul, maka hiburan jugalah yang menjadi pilihan….Dan bagi yang berada dalam barisan jemaah dakwah mahupun parti/persatuan pula, kadang-kadang, terlalu menumpukan perhatian kepada usaha mengukuhkan jemaahnya serta memandang kelemahan jemaah lain sehingga terlupa isu aqidah umat ini. Tidak semuanya salah, namun itukah yang menjadi prioriti dalam kehidupan ini sebenarnya?


Berapa ramai ibu bapa yang menasihati anak-anaknya sebagaimana yang dilakukan oleh Luqman terhadap anak-anaknya agar tidak mensyirikkan Allah? "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya, mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang amat besar." [QS Luqman 31:13]


Berapa ramai ibu bapa yang memulakan didikan kepada anak-anak dengan menyeru kepada anak-anaknya untuk mengenal Pencipta dan mengesakanNya?

Berapa ramai ibu bapa mahupun anak-anak yang bertanyakan khabar keimanan antara satu sama lain ketika berjauhan?


Berapa ramai ibu bapa yang berpesan kepada anak-anaknya sebelum mereka meninggal dunia, agar anak-anaknya teguh di jalan yang satu untuk sampai kepada Allah? Tahukah kita bahawa TAUHID adalah wasiat para nabi tatkala mereka menghampiri kematian?


"dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata): 'Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam'. Adakah kamu menjadi saksi saat maut menjemput Ya'qub, ketika ia berkata kepada anak2nya:'Apa yang akan kamu ibadahi sepeninggalanku?' Mereka menjawab: 'Kami akan beribadah kepada Ilahmu dan Ilah nenek moyangmu, Ibrahim, Isma'il dan Ishaq, (iaitu) ilah yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepadaNya?" [QS Al-Baqarah 2: 132-133].

Dan berapa ramai antara kita yang peduli untuk melakukan perbaikan tauhid dalam diri dan saudara-saudaranya dengan menegakkan tarbiah dan menjalankan dakwah?

Adakah boleh dibilang dengan jari? Jelas lah, kenapa masyarakat kita terlalu takut dengan dakwah kristianisasi, takut Bible ditulis dalam Bahasa Melayu, melenting bila nama Allah mahu digunakan dalam bible, dan generasi kita terlibat sama dalam gejala2 penyimpangan aqidah, malah ada juga yang tak mahu ambil tahu langsung atau buat-buat tak tahu! Paling tidak pun, berusahalah untuk mengambil tahu, paling kurang pun, sampaikan lah kepada mereka yang dekat dengan kita tentang peringatan2 ini.


" Hai sekalian manusia, ibadahilah Rabb mu yang telah menciptakanmu dan orang2 sebelummu agar kamu bertaqwa" [QS Al-Baqarah 2:21]


"…..kerana itu, janganlah kamu mengadakan sekutu2 bagi Allah, padahal kamu mengetahui." [QS Al-Baqarah 2:22]


"Dan Ilahmu adalah Ilah yang maha Esa; tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Dia, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang" [QS Al-Baqarah, 2:163]


"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap2 umat (untuk menyerukan): Beribadahlah kepada Allah sahaja, dan jauhilah Taghut itu…." [QS An-Nahlu 16:36]


"…..Dan Kamu tidak mengutus seorang Rasul pun sebelummu, melainkan Kami wahyukan kepadanya:'Bahawasanya tidak ada Ilah (yang haq) melainkan Aku, maka ibadahilah olehmu sekalian akan Aku" [QS Al-Anbiyaa 21:25].


"Beribadahlah kepada Aku dan janganlah akmu mempersekutukan aku dengan sesuatu pun…." [QS An-Nisaa'4: 36].

Mungkin, ada di antara pembaca yang baru mendengar perkataan aqidah, atau sering mendengar tetapi kurang pasti akan apakah ertinya aqidah itu dan kenapa ia sangat penting untuk dipelihara?


Dari segi bahasa: asal perkataan AQIDAH ialah al-qa'du (ikatan), at-tautsiiqu (kepercayaan atau keyakinan yang kuat), al-ihkaamu (mengukuhkan/menetapkan) dan ar-rabthu biquwwah (mengikat dengan kuat. [1]


Dari segi istilah: AQIDAH ialah IMAN yang teguh dan pasti, tanpa ada keraguan sedikitpun bagi orang yang meyakininya. (-keyakinan) [1]


Manakala AQIDAH ISLAMIAH ialah keimanan yang teguh dan pasti kepada Allah Ta'ala dengan melaksanakan seluruh kewajipan, bertauhid (Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah, & Asma' Was-Sifat) dan taat kepada Allah, beriman kepada Malaikat2 Nya, Rasul2Nya, Kitab2Nya, hari Akhir, takdir yang baik mahupun yang buruk dan mengimani seluruh prinsip2 agama (usuluddin) yang sahih, perkara2 ghaib, beriman kepada apa saja yang disepakati oleh salafusSoleh, serta seluruh berita2 yang pasti, baik secara ilmiah mahupun amaliah yang telah ditetapkan menurut Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih serta apa yang telah disepakati oleh salafusSoleh. [1]


Ahli Sunnah wal Jamaah menamakan aqidah antaranya adalah sebagai: al-Iman, Aqidah, Tauhid, As-Sunnah, Ushuluddin dan Ushuluddiyanah, Al-Fiqhul Akbar dan Asy-Syari'ah. [2]


Manakala, nama2 aqidah menurut selain daripada Ahli Sunnah walJamaah antaranya ialah: Ilmu Kalam, Filsafat, Tasawwuf, Ilaahiyyat (Teologi), dan Kekuatan di Balik Alam Metafisik. [3]


Saya menyertakan nama2 ini supaya pembaca dapat mendeteksi aqidah yang benar dan menyimpang pada pertama kali mendengar istilah2 tersebut, dan seterusnya nilailah kefahaman aqidah tersebut dengan syari'at Allah Ta'ala.


Demikianlah, pengertian di sebalik kata AQIDAH dan realiti tentang kefahaman serta kepentingan aqidah di sisi masyarakat ketika ini. Sudah sampai saatnya kita berusaha mewujudkan satu lingkungan yang boleh menarik umat ini semula ke arah kefahaman aqidah yang jelas serta sahih dan umat Islam juga harus berusaha & berminat untuk mencari tahu. Tidaklah saya nukilkan seruan/teguran ini melainkan tujuan utamanya adalah sebagai panduan dan pengajaran untuk diri saya sendiri. Wallahu'alam.


[1] Prinsip-Prinsip Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, Yazid Abdul Qadir Jawas, Pustaka At-Taqwa, cetakan ke-3, 2008, Bogor Indonesia, halaman 15-16.


[2] & [3] almanhaj.or.id


SPECIAL OFFER di Bulan SYA'BAAN: JOM PUASA!!!  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in

Sebelumnya, saya memohon maaf atas keterlambatan meng'update' blog ini. Terima kasih atas perhatian & saranan teman2 + my twin yang begitu prihatin. Kadang2 saya rasakan perlu untuk saya berehat daripada menulis buat sementara waktu dan menggunakan senggang waktu yang ada untuk memperbaiki kelemahan diri. Dan apabila detik waktu terus berjalan, saya tersedar yang kita sudah hampir memasuki gerbang Sya'baan dan Ramadhan....................

Sya'baan adalah bulan sebelum Ramadhan. Saya cuma mahu mengambil peluang ini untuk mempromosikan "special offer" yang telah Allah SWT tawarkan buat kita pada bulan depan, tawaran hebat ini jauh lebih menarik dan terjamin daripada Mega Sale di gedung2 shopping Mall macam Pondok Indah Mall atau Mid Valley Mega Mall!! =)

PERTAMA.

Dari Aa'isha r.a berkata: "Rasulullah SAW berpuasa hingga kami berkata bahawa beliau tidak akan berbuka dan beliau berbuka hingga kami berkata bahawa beliau tidak akan/tidak pernah berpuasa, maka aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan selain bulan Ramadhan dan aku tidak melihat baginda puasa paling banyak seperti baginda berpuasa dalam bulan Sya'baan." [HR al- Bukhari dan Muslim].

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan kerana sememangnya setiap umat Islam diwajibkan berpuasa sebulan Ramadhan, manakala puasa sunat baginda paling banyak dilakukan dalam bulan Sya'baan.

KEDUA.

Dari Ummu Salamah r.a berkata,
“Saya tidak pernah melihat Nabi SAW berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali pada Sya’ban dan Ramadhan.” [HR Abu Daud & At-Tirmidzi] disahihkan oleh al-albani.

Imam Ibnul Mubarak rahimahullah mengatakan bahawa tidak ada percanggahan antara hadis ke-2 ini dengan hadis Aa'isyah di atas tadi, bagi orang2 Arab, berpuasa banyak dalam sebulan itu dikatakan sebagai telah berpuasa penuh [1], manakala Syeikh Abdul 'Aziz bin Baaz , dalam fatwa beliau, berpendapat bahawa adakalanya dalam tahun2 tertentu Rasulullah SAW berpuasa penuh di bulan Sya'baan manakala dalam tahun2 yang lain pula ia hanya banyak berpuasa dalam bulan Sya'baan.
Hal ini menunjukkan bahawa kita disunnahkan untuk banyak berpuasa di bulan Sya'baan.

KETIGA

Daripada Usamah bin Zaid r.a berkata: Aku berkata kepada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa (sunat) di dalam bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa di bulan Sya’ban". Lalu Rasulullah saw bersabda: "Bulan ini adalah bulan yang sering diabaikan oleh manusia iaitu bulan di antara Rejab dan Ramadhan, dan ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat mengadap Tuhan semesta alam dan aku suka amalanku diangkat ketika aku berpuasa". [Hadis riwayat Ahmad, al-Nasaa‘i, disahihkan oleh Al-Albani di dalam Silsilah al-Sahihah].

Dari hadis ini dapat kita ambil dua hikmah kenapa Rasulullah SAW banyak berpuasa pada bulan Sya'baan:
1) bulan ini berada di antara bulan Rejab (bulan haram) dan Ramadhan, ramai manusia sibuk dengan kedua2 bulan ini sehingga terlupa akan bulan Sya'baan. Ada yang menyangka puasa Rejab lebih baik dari puasa di bulan Sya'baan, sedangkan pada hakikatnya menurut pendapat ulama', puasa di bulan Sya'ban adalah yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan.

2) Baginda suka amalannya diangkat dalam keadaan berpuasa.

Selain daripada itu, puasa yang banyak di bulan Sya'baan juga merupakan satu latihan atau persiapan memperkukuhkan diri serta memberi semangat yang segar untuk kita menghadapi bulan Ramadhan.

PUASA NISFU SYA'BAN??

Timbul pertanyaan, adakah puasa Nisfu Sya'ban itu juga puasa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW?

Begitu banyak hadis2 tentang nisfu Sya'baan yang tersebar dan popular di kalangan masyarakat kita, kebanyakannya adalah hadis palsu dan mungkar. Malam nisfu Sya'ban sememang nya memiliki keutamaannya berdasarkan hadis sahih ini:-

Nabi SAW bersabda yang maksudnya:Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) [HR Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain, disahihkan oleh al-albany]

Namun, kita tidak disyariatkan untuk mengkhususkan ibadat2 tertentu pada malam/hari Nisfu Sya'ban mahupun meraikannya kerana hal itu tidak pernah mendapat petunjuk daripada Rasulullah SAW, cukuplah dengan bersandar pada hadis2 sahih yang menyeru kita meningkatkan ibadah puasa dalam bulan ini, tanpa perlu mengkhususkan hari tertentu dan beri'tiqad secara putus tentang kelebihan/fadhilat puasa Nisfu Sya'ban, kan Allah dah bagi peluang sebulan puasa tak kire la hari apa pun, janganlah sampai bid'ah ini melalaikan kita daripada melakukan sunnah yang telah diajar oleh Rasulullah SAW.

PERINGATAN: Lihat kalendar di bahagian widget blog saya. Hari ini dah menjelang 21 Julai 2009 bersamaan 28 Rejab 1430 H (4.45 pm) , lagi sehari atau 2 hari kita akan sampai ke bulan Sya'baan, ini adalah peluang bagi kita untuk meningkatkan ibadat sunnah (puasa) bagi menghampirkan diri kepadaNya, ayuh berpuasa, anak2 muda yang masih belum mampu bernikah, mereka yang mahu mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan cara yang benar dan tidak melampau/berinovasi, dan sesiapa sahaja yang mahu mempersiapkan modal/bekal di akhirat kelak, saya menyeru diri saya dan keluarga, dengan motivasi daripada hadis2 sahih di atas untuk sama2 memperbanyak ibadah puasa dalam bulan depan, insyaAllah. Jangan lupakan Sya'baan.....

[1] rujuk Fathul Bari 4/214