Kenapa kakak suruh adik solat?  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan

"Kenapa kak selalu suruh cik solat?

"Solat tu perintah Allah SWT dan Rasul Nya, bukan kakak saje suka-suka je tegur cik bila cik tak solat atau bila cik lambat solat. Cik tahu kan apa panduan hidup kita kat dunia ni supaya kita tak sesat?""al-quran dan hadis"

"pintar adik kakak, umur 6 tahun pun dah tahu. Dari situ la kita tau yang kita wajib dirikan solat 5 waktu ni"

"Sebab kakak selalu sebut, ikut apa Allah cakap dan Nabi buat..tapi cik pelik la, Nabi SAW dah wafat, camne kita nak ikut dia?"

"Melalui hadis2 Nabi la kita dapat tahu apa yang Nabi buat, macammana Nabi buat, apa yang Nabi cakap, apa yang Nabi suruh, ada yang wajib kita ikut, ada yang tak. Solat adalah perintah yang wajib diikut, dengan tatacaranya sekali mesti betul. Kalau nak tahu kena belajar, cik belajar la pelan2. Sekarang ni yang penting akak nak cik buat ialah solat. Jom solat dengan kakak"


Adakah kanak-kanak itu akan puas kalau sekadar dikatakan solat tu wajib dan penting? Pasti dia ditinggalkan dengan penuh tanda tanya. Maka bacalah buktinya, kenapa solat itu sangat penting.


1. Solat adalah perintah Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Banyak ayat di dalam Al-Quran (firman Allah SWT) yang memerintahkan kita mendirikan solat kepadaNya. Misalnya, dalam surah Taha, ayat ke 14, Allah SWT berfirman: "Sungguh, Aku ini Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah SOLAT untuk mengingati aku". Malangnya, ramai antara kita mengambil ringan tanggungjawab untuk solat, ada yang suka melengah-lengahkan solat, menolak untuk mengingati Allah, sebaliknya ia lebih suka mengingat hal-hal yang melalaikan seperti menonton filem, bermesej-mesej dengan pacarnya, atau terlalu obses dengan kerja duniawi yang dilakukannya sehingga mengabaikan solat. Islam tidak memberikan kesukaran, kepada doktor2 yang berjuang mempertahankan nyawa manusia di dalam dewan bedah, kepada pelajar2 yang terperangkap dalam dewan peperiksaan, kepada orang yang bermusafir dan orang yang sakit-Allah SWT sangat tahu tentang hamba2Nya justeru Dia memberi keistimewaan kepada mereka yang tidak mampu mendirikan solat pada waktunya. Prinsipnya, solat tetap WAJIB walau bagaimana pun keadaan kita.


2. Solat itu benteng yang menghalang kita daripada buat perkara-perkara yang tak elok (keji dan mungkar). Allah SWT berfirman :"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar."[al-ankabut, 45]. Solat akan menyibukkan hati kita dengan sentiasa mengingati Allah dan bertakwa (takut) kepadanya, seandainya solat yang kita dirikan 'cincai poncai' , tak ada rasa khusyuk, dan tidak ikhlas atau tanpa wujud sedikit pun rasa tanggungjawab sebagai hamba Allah, sudah pastinya ia tidak merasakan kesan solat itu, sehingga ia masih terus berkeras hati berbuat maksiat dan kekejian dengan ego dan sombongnya.


3. Suka saya bawakan pesan Luqman kepada anak-anaknya dari surah Luqman, ayat 13-19. Ayat-ayat ini sangat berharga sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka, dan juga sebagai pesanan untuk kita semua sebagai anak-anak. Antara pesan Luqman kepada anaknya ialah:

  • Tidak mempersekutukan Allah SWT (tidak mensyirikkan Allah SWT walaupun sekadar untuk bermain-main kerana hal ini merupakan dosa yang sangat besar dan tdak boleh dipermainkan, contoh terkini dan terdekat ialah Paul the Octopus, Rahsia Tarikh Lahir, ramalan zodiac).

    Berbuat baik kepada ibu bapa (jangan menjadi anak derhaka yang selalu menengking ibu bapa, menyakiti hati mereka, menipu mereka, membuat mereka runsing dan menangis, dan lain-lain, terutama bila kita telah dewasa. Dewasa bererti kita sudah tahu baik buruk, jangan sombong bila berwang, terus terang saya katakan, anak yang tidak menghormati ibu bapanya tidak layak menjadi suami/isteri).

  • Laksanakan solat, suruh manusia melakukan hal2 yang makruf, dan cegahlah mereka daripada melakukan hal yang mungkar (dakwah), bersabar terhadap kejadian yang menimpa kita.

  • Jangan sombong.

Pesan ini merupakan pesan yang sangat penting buat kita, kerana hanya perkara2 yang sangat perlu ditekankan dan perkara pokok sahaja yang terukir di dalam Al Quran.

4. Surah 24:56 – Dan laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatlah kepada Rasul (Muhammad) agar kamu diberi rahmat.

5. Dan Allah SWT memerintahkan kita memelihara solat fardhu kita, "Peliharalah segala solatmu dan peliharalah solat wustha [al-Baqarah:238].

Beberapa hadis berkaitan keutamaan solat:

Dari abu Hurairah ra berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, "tahukah kalian seandainya sebuah sungai ada di depan pintu salah seorang kamu, ia setiap hari mandi dari sungai itu sebanyak 5 kali, apakah masih ada kotoran yang melekat padanya?" Mereka menjawab:"Tidak akan tersisa sedikit pun dari kotorannya (bersih-pen)". Baginda bersabda "Begitulah perumpamaan solat 5 waktu, dengannya Allah menghapus dosa-dosa."[HR Bukhari dan Muslim]

Dari Ibn Mas'ud r.a bahawa ada seorang lelaki yang mencium seorang wanita, kemudian dia mendatangi Nabi SAW dan menceritakan (perbuatannya itu) kepada beliau, maka Allah menurunkan ayat: "Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada sebahagian permulaan daripada malam, sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk". Maka orang tadi bertanya; "Apakah ini hanya untuk aku?" Baginda menjawab:"Untuk semua umatku" [HR Bukhari Muslim].

Dari Ibnu Mas'ud ra, dia berkata: "Saya bertanya kepada Rasulullah SAW manakah amalan yang paling utama?. Beliau bersabda:"Solat tepat pada waktu", saya bertanya "kemudian apa?" Baginda menjawab "Berbakti kepada kedua orang tua". Saya katakan, "kemudian apa?" Baginda bersabda " Jihad di jalan Allah". [HR Bukhari dan Muslim]

Dari Ibnu Umar ra berkata:"Rasulullah SAW bersabda: "Islam ini dibangun dengan 5 rukun, persaksian bahawa tidak ada sembahan yang benar melainkan Allah SWT dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji ke Ka'abah dan puasa Ramadhan." [HR Bukhari Muslim].

Dari Ibn Umar dia berkata "Rasulullah SAW bersabda:"Saya diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tidak ada yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah SWT, dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka apabila mereka melakukan hal itu, mereka telah melindungi darah dan harta mereka dariku kecuali dengan hak Islam sementara hisab mereka terpulang kepada Allah" [HR BUkhari dan Muslim]

Dari Abu Hurairah ra dia berkata "Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya amalan hamba yang pertama kali akan dihisab pada hari kiamat adalah solatnya, bila solatnya baik, maka ia beruntung dan selamat. Namun bila solatnya rosak, maka ia sangat rugi. Apabila ada kekurangan daripada solat fardhunya maka Allah SWT berfirman "Lihatlah adakah hambaKu memiliki solat sunnah sehingga kekurangannya pada solat wajib boleh disempurnakan dengan amalan sunnah itu? Kemudian seluruh amalannya akan dihitung berdasarkan perhitungan ini" [HR Tirmidzi, dia berkata: hadis Hasan]


Sedarlah bahawa kita ini adalah insan yang tak terlepas daripada melakukan dosa, maka beringatlah selalu, disiplinkan diri dengan tanggungjawab menunaikan solat di awal waktu, jangan sombong dan jangan ingkar. Tulisan ringkas ini mungkin hanya sesuai untuk mereka yang masih belum sedar tentang kepentingan solat, untuk kanak-kanak yang baru belajar tentang solat. Setelah mereka telah dilatih untuk solat, maka latihlah pula mereka untuk solat jemaah, solat di masjid bagi lelaki, solat dengan cara solat yang betul dan khusyuk. Seterusnya, latihlah diri kita dan mereka juga untuk sama-sama menambah nilai bonus dalam amalan dengan membanyakkan solat-solat sunnah lainnya.


Rujukan: Al-Quran dan Riyadhus Shalihin Jilid 2 di bawah Bab Keutamaan Solat; & Perintah Menjaga Solat Fardhu dan Larangan Kuat serta Acaman Hebat Meninggalkannya.




This entry was posted on 1:09 PM . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

Post a Comment