Lafaz Yang Tersimpan  

Posted by: Farhana & Farhani Azizan in



Dedikasi khas buat kakak-kakak, adik-adikku dan peringatan buat diri penulis....

Buat hati Mak dan Abah Senang dan Bahagia.

Dalam suatu riwayat dikatakan bahawa datang seorang lelaki meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk berhijrah sedangkan orang tuanya ditinggalkan dalam keadaan menangis, maka Rasulullah SAW berkata kepada lelaki tersebut, "Kembalilah dan buatlah mereka berdua tertawa (gembira) sebagaimana engkau telah membuat keduanya menangis" [1]

Syukur Alhamdulillah. Tanggal 24 Disember 2009 lalu merupakan satu lagi hari bersejarah dalam keluarga kita. Seorang lagi anak mak dan abah telah berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Menyoroti kembali kisah-kisah kejayaan lalu, aku mendapati tiada apa yang lebih menggembirakan kedua mak dan abah melainkan melihat kita berprestasi dalam pendidikan. Bagi kakak-kakak In dan Farzana yang kini telah melangkah ke menara gading, pencapaian dalam UPSR, PMR dan SPM hanyalah sebuah permulaan untuk mempertaruhkan diri ke dunia yang begitu kompeten, dan sijil tersebut merupakan kunci untuk kami menjelajah luasnya ilmu pengetahuan di rantau orang. Setidak-tidaknya, kejayaan tersebut dapat membuatkan mak dan abah gembira, mengubat kekecewaan mereka yang lalu, bukankah Islam menuntut kita untuk mengutamakan upaya menggembirakan kedua dua-dua orang tua dan mengelakkan diri daripada membuat mereka bersedih? Jadi, tahniah buat adikku kerana telah berjaya menggembirakan mak dan abah buat kesekian kalinya.

Walaupun mak selalu berpesan kepada kita yang berada di negeri orang agar tidak memanjangkan tempoh perbualan telefon dengannya, dan selalu menasihati supaya tidak terlalu tergesa-gesa membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke kampung, tetapi pada hakikatnya, mak dan abah tetap gembira mendengar suara anak-anak yang jauh dari pandangan mata dan gembira menerima kepulangan anak-anak yang sekian lama dirindui setelah kita rela dilepaskannya pergi jauh bersama teman-teman. Tiada salahnya mengorbankan sedikit waktu dan wang semata-mata untuk menggembirakan mereka dengan kepulangan kita dan berbual mesra dengan mereka.

Begitu jugalah apabila kita telah dewasa nanti dan mempunyai kerjaya masing-masing, jangan pernah membuat mereka terasa jauh hati atau bersedih dengan sikap kita. Rendahkanlah diri kita di hadapan mereka, buat mereka rasa dihargai dengan keberadaan mereka di samping kita, dan bersopan santun lah terhadap mereka, walaupun dalam keadaan ingin menegur kesalahan mereka.

Usaha keras kedua mak abah dan doa mereka, yang telah membantu perjuangan kita, menjadikan kita seperti kita sekarang ini.


"Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi: doa orang-orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya" [HR At Tirmidzi] [2].

Dengarkanlah juga kisah Juraij dari sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Juraij seorang yang gemar beribadat, beliau lebih mendahulukan solat sunat daripada menjawab panggilan ibunya yang berulang-ulang, sehingga ibunya mendoakan nya " Ya Allah, janganlah Engkau matikan Juraij sehingga ia melihat wajah para wanita pelacur" dan Allah pun mengabulkan doa ibunya, akibatnya Juraij terkena fitnah sang pelacur yang mendakwa anak yang dihamilinya adalah keturunan Juraij.

Hati-hati dengan doa mereka, doa mereka pasti termakbul. Kita tahu bahawa mak dan abah jarang terlupa mengingati kita dalam doa mereka. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan tersebut untuk meminta mereka memohon keampunan untuk kita, sebagaimana yang dilakukan oleh saudara-saudara Nabi Yusof, :

"Wahai ayah kami, mohonkanlah ampun bagi kami terhadap dosa-dosa kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sangat bersalah (berdosa)" [QS Yusof 12:97]

Sesekali terfikir, kelebihan yang kita nikmati sekarang ini merupakan antara kesan doa daripada kedua mak dan abah, dan tidak ada nikmat yang lebih utama melainkan diampunkan dosa-dosa kita oleh Allah SWT. Sementara mereka masih bernafas, mintalah mereka supaya mendoakan kita. Buat mak dan abah, tiada hal yang lebih berharga yang kami anak-anak harapkan melainkan doa dan doa dan doa.

Cita-cita kita adalah keredhaan Allah SWT.

Kita sentiasa mahukan kesenangan, rezeki yang luas, urusan menjadi mudah, hubungan yang baik dengan semua orang (i.e wang, kerja, belajar, dakwah, rakan). Kadang-kadang, bila kita tidak mendapat apa yang kita impi-impikan ini, kita menjadi cepat 'stress', kecewa, marah, dan merasakan hidup 'tunggang terbalik'. Dalam menjalani hidup di atas muka bumi ini, perlulah kita sedar bahawa tidak ada yang lebih penting daripada keredhaan Allah SWT, dalam mencapai matlamat yang satu ini, ketahuilah bahawa:

"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa" [HR At Tirmidzi] [3]

Apa sahaja yang kita lakukan- syari'at Islam- Allah dan Rasul perlu diutamakan, dan setelah itu pula, penting untuk kita mendapatkan redha kedua mak dan abah sekalipun dalam urusan yang baik.

Mak, di mana harus ku cari ganti ?!

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (untuk berbakti kepada) kedua orangtuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya (tempoh menceraikan susu) dalam dua tahun…." (QS Luqman 31:14)

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah 30 bulan sehingga apabila ia telah dewasa dan umurnya sampai 40 tahun ia berdoa, "Ya Rabbi, tunjukkanlah aku untuk mensyukuri nikmatMu yang telah engkau berikan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri" [QS Al-Ahqaf 46:15].

Sukarnya mahu melahirkan anak, satu kesakitan yang belum pernah kami alami, namun juga telah diceritakan dalam Al-Quran, ketika Maryam mahu melahirkan Isa a.s:

"(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pokok kurma; dia (Maryam) berkata: 'Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang' " [QS Maryam 19:23]

Dalam dunia perubatan juga diajarkan bahawa terjadi pelbagai perubahan dari sudut psikologi, hormonal, sistemik, fizikal, emosi, kesakitan, kelemahan, sehinggakan rutin harian seorang ibu berubah mendadak selama waktu mengandung, dan juga bagaimana gentingnya saat-saat ibu mahu melahirkan bayi yang dibahagikan kepada beberapa tahap, kontraksi yang dialami, rasa tekanan pada vagina dan kesakitan seperti rasa terbakar, pernafasan dan otot-otot di sekitar perineum yang harus dikawal kekuatannya dan bagaimana seorang ibu harus bekerja begitu keras untuk mengeluarkan bayi tersebut, tentang komplikasi setelah melahirkan, sampailah kepada menyusu dan melayani karenah kita dari kecil sampai dewasa, sehingga menjadi manusia yang berguna. Kepada siapa perlu kita berterima kasih dan bersyukur?

Dari Abu Hurairah ra menceritakan: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: 'Wahai Rasulullah! Siapakah yang paling berhak mendapat perlakuan baikku?' Beliau menjawab: 'Ibumu'. Lelaki itu bertanya, 'kemudian siapa?' Beliau menjawab, 'Ibumu'. Lelaki itu bertanya lagi, 'kemudian siapa?' Beliau menjawab, 'Ibumu'. Lelaki tadi bertanya lagi, ' lalu siapa?' Beliau menjawab, 'Ayahmu.' [HR Al-Bukhari].

Kedudukan seorang ibu dalam Islam begitu istimewa.

Ingat Mereka dalam Doa Kita.

"Apabila anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah daripadanya amalannya kecuali 3 perkara: Sedekah jariahnya, atau ilmunya yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya" [HR Muslim]

Marilah kita mencontohi Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim yang mendoakan kedua ibu bapa mereka.

Nabi Nuh as pernah berdoa: "Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke dalam rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman dari lelaki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan" [QS Nuh 71:28]

Nabi Ibrahim a.s pernah berdoa: "Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari khiamat)" [QS Ibrahim 14:41]

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra', surah ke-, ayat ke 23-24:

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan jangan lah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecilku".

Kaitannya dengan Kesempurnaan Tauhid.

Mentauhidkan Allah SWT dengan beribadah kepada Nya merupakan satu perintah yang perlu diiringi dengan berbakti atau berbuat baik kepada kedua mak dan abah; perintah ini difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran sebagaimana yang berikut:-

"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan Nya dengan sesuatu pun, dan berbuat baik lah kepada kedua orang ibu bapa……" [QS An-Nisa 4:36]

"Katakanlah, 'Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu, yaitu janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua ibu bapa……" [QS Al-An'am 6:151]

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya…" [QS Al-Isra' 17:23]

"Dan ingatlah ketika Kami mengambil janji daripada Bani Israil, (iaitu) janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baik lah kepada kedua ibu bapa.." [QS Al-Baqarah 2:83]

Maka, buktikanlah kesempurnaan tauhid kita terhadap Allah yang Maha Esa, kesaksian yang telah kita ungkapkan selama ini!

Nota Kaki:

[1] Hadits Riwayat Abu Dawud dan Nasa'i dinilai sahih oleh al Albani dalam Sahih Sunan al Nasai no.4163

[2] dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Al Tirmizi, no.1905.

[3] Hadis no. 1899 dalam Sunan At Trimidzi, dinilai sahih oleh al Albani dalam Silsilah al ahadits al Sahihah- no.515.

This entry was posted on 8:57 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

Post a Comment